Monday, May 9, 2011

Adakah UMNO sudah bersedia...


Mungkin pergolakkan demi pergolakan dilihat disetiap parti Pembangkang 9PAS, DAP, PKR tika ini. Dari pucuk pimpinan hingga ke akar umbi masing-masing membicarakan hal dalaman parti. Tak kurang dari itu, masalah kewangan, isu perebutan jawatan tertinggi dalam parti semuanya menjadi buah mulut untuk setiap parti bagi menyediakan dan memulihkan keadaan parti masing-masing untuk menghadapi PRU ke 13 akan datang. Ini penting, persediaan dalam menghadapi saingan sebenar untuk kekal berkuasa dalam arena politik di Malaysia.

Namun, isu demi isu dan segala hal dibangkitkan, adakah UMNO sudah bersedia untuk berpijak dibumi yang nyata. Parti politik dari arus pembangkang dikecam hebat oleh akhbar, media maya dan juga rakyat namun mereka ini terus memperbaiki setiap kritikan. Adakah UMNO yang kurang dikritik dan kurang menjadi buah mulut kesilapan, terus alpa dan tetap dengan sindrom selesa sebagai parti pemerintah. Dengan keluhan YAB TPM yang lalu dikala beliau terus runsing dengan perpecahan dalaman UMNO, namun ahlinya masih ditakuk lama. Mereka para ahli mungkin sudah selesa, dan terus membiarkan YAB PM dan YAB TPM yang akan menyelesaikan segala kemelut dalaman.


UMNO dan ahlinya masih dilihat belum benar bersedia untuk PRU 13 ini. Masalah dalamnan yang terus berakar dikalangan ahli yang masih mementingkan jawatan dari perjuangan parti menebal dan ianya terus menjadi duri dalam daging UMNO. Ianya perlu disihatkan dengan tindakan yang drastik untuk UMNO itu terus dianjakkan dan di transformasikan menjadi parti yang lebih inklusif dari esklusif sebagaimana yang dicanang oleh YAB PM. Ianya menjadi seperti ajakan ayam sahaja , ahli UMNO dan pemimpin yang lain masih terus memikirkan kuasa yang perlu dikekalkan bukan untuk memikirkan masa depan UMNO.

UMNO yang terus dikecam oleh golongan muda, golongan menegah yang tinggal dibandar dan juga golongan yang celik politik terus tidak langsung memikirkan cara untuk memperbaiki dan mendekati golongan tersebut. Tanpa ada sebarang perancangan, UMNO terus dengan cara lama walaupun YAB PM seorang sahaja yang terus mendekati pengundi dengan cara berkomunikasi ala globalisasi. Apa yang ada dalam benak pikiran Ketua Pemuda dan Ketua Putri UMNO, sekali diketuk sekali mereka bergerak. Tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kedua-dua sayap ini. Langsung dilihat tidak bergerak dan tiada apa yang boleh dibanggakan. Jika kedua-dua ketua ini terus dikritik dan mereka ini seolah-olah suka dikritik dan langsung tidak mengambil kritikan itu untuk terus membangunkan Pemuda dan Putri UMNO. Sayap kedua-dua ini terus tertinggal dibelakang dan bukan menjadi tulang belakang utama untuk UMNO tika ini.


Dimana senarai pengundi muda? dimana daftar pengundi muda? seramai mana yang telah didaftar oleh sayap pemuda dan puteri ini? Pelik jika dilihat dan dibandingkan dengan setiap sayap pemuda parti pembangkang yang terus memainkan peranan pemuda tak kira dikilang-kilang, universiti-universiti dan juga gabungan persatuan belia, mereka terus mendampingi mereka untuk merayu sokongan parti mereka. Jika dilihat dari peratusan pengundi yang meningkat umurnya dari PRU yang lalu, maka saluran 3 dan 4 inilah yang akan memainkan peranan sebagai swing sokongan untuk pru akan datang.

Itu dilihat dari sudut pengundi muda dan dari sudut peranan Pemuda dan Puteri dalam UMNO. Bagaimana pula pada ketua-ketua Cawangan dan juga ketua-ketua Bahagian UMNO yang masih lagi berakar tanpa ada transformasi kepimpinan. Mereka ini berakar dan tidak mahu beralih memberi laluan dan peluang kepada muka baru.Pemimpin yang dah berakar kini menjadi kutukkan dan kebencian untuk golongan muda terus tidak menyokong UMNO. Kenapa langsung tidak memberi ruang dan peluang untuk lapisan baru memberikan perkhidmatan yang cermerlang dengan inovasi yang cuba dirancang. Kenapa perlu disekat dan dicantas mereka yang berkelayakan untuk membawa perubahan dalam UMNO. Inilah menjadi duri dalam daging jika cantas dan cah keting terus diamalkan didalam UMNO. Bukan setakat politik wang sahaja yang membahayakan parti tapi politik cantas ini lebih bahaya kerana UMNO akan ketandusan kepimpinan yang berwibawa dan ianya akan pupus dalam UMNO satu ketika nanti.


KPI lah diri sendiri untuk pemimpin yang dah lama memegang jawatan dalam parti. Bukan UMNO tak kenang jasa, namun jika dirasakan diri itu sudah lama dan KPI pun mula menurun, maka, pandai-pandailah angkat kaki dan beri peluang kepada yang lebih layak. UMNO akan terus maju jika peralihan kuasa itu diagihkan secara sihat dan memberi peluang kepada yang layak. UMNO akan terus dihati rakyat jika kepimpinan atasan dapat memberikan perkhidmatan yang cermerlang.

Bagi sisa-sisa yang tinggal sebelum berlangsungnya PRU 13 ini, diharapkan UMNO dengan masa yang ada perlulah memperbaiki isu dalaman dan mempertingkatkan daya dari pelbagai sudut. Pegerakan Pemuda dan Puteri, yang lesu perlu dijana sumbernya. Jangan dek kerana perebutan kuasa maka UMNO dan ahlinya sanggup mengadaikan parti mereka. Persediaan yang rapi bukan hanya dilihat dari laporan dan mulut sahaja kerana dipihak akar umbi bawahan masih bergolak. Cawangan-cawangan UMNO yang lesu dan tidak aktif perlu disediakan bagi menjana sokongan akar umbi.


Justeru, UMNO pusat bukan sekadar menerima laporan demi laporan, mereka perlu turun ke akar umbi melihat apa yang sebenar belaku. Pandangan dari luaran perlu diambil kira dan bukan pandangan dari mereka yang berkepentingan dalam UMNO. Jika UMNO masih belum bersedia untuk PRU 13 ini maka, perkara yang berlaku dalam PRU 12 akan berulang dan ianya mungkin lebih dahsyat lagi. Kehilangan negeri-negeri yang dibawah BN akan berlaku jika isu dalaman terus melanda ahli UMNO sendiri. Maka, ironinya, persediaan yang ketara untuk UMNO dan ahlinya perlu dilaksanakan segera bagi menjana transformasi aspirasi YAB PM berjaya dalam PRU 13 ini. Bersediakah UMNO, satu persoalan yang dilontarkan untuk seluruh ahli dan kepimpinan UMNO kali ini...

No comments:

Post a Comment