Thursday, April 16, 2015

luahan hati PAS....

Tulisan ini petikan dari Malaysiakini aku copy ... baca dan fahamkan...

PAS berada di kedudukan politik terkuat dalam sejarah jatuh-bangun perjuangannya selepas mencatatkan prestasi terbaik pada pilihan raya umum (PRU) ke-10 lalu dengan memenangi 27 daripada 63 kerusi parlimen yang ditandingi.

Dua negeri - Kelantan dan Terengganu - ditadbir oleh pemimpin PAS, manakala presiden ketika itu, Datuk Fadzil Noor dilantik sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Memang benar PAS gagal mengatasi prestasi terbaiknya dalam PRU ke-12 dan ke-13 apabila memenangi 23 kerusi pada 2008 dan 21 daripada 73 kerusi ditandingi pada 2013.

Kedah berjaya ditawan dalam PRU ke-12 walaupun negeri itu akhirnya hilang daripada genggaman kira-kira lima tahun kemudian.
Namun, mengapakah penulis tetap mengatakan PAS berada pada kedudukan terkuat ketika ini?

Kekuatan sesebuah parti politik perlu diukur dari pelbagai dimensi dan bukan semata-mata melihat kepada jumlah kerusi di parlimen. Tambahan pula jika kemenangan itu disebabkan faktor-faktor situasi luaran.

Kemenangan PAS dalam PRU ke-10 disebabkan berlaku “tsunami Melayu” menolak Umno-Barisan Nasional kesan daripada pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tun M mencabar PAS

Malangnya kemenangan itu tidak dapat bertahan lebih lama. Ya, sebaik saja sesi parlimen ke-10 (1999-2004) bermula, PAS mula kehilangan hilang apabila ada pimpinan mula mendakwa parti itu berjaya kerana orang Melayu mahukan negara Islam.

Tun Dr Mahathir Mohamad lantas mencabar PAS.

Akibatnya, Memorandum Rakyat yang menjadi legasi Almarhum Datuk Fadzil Noor sebagai reaksi kepada cabaran Dr Mahathir mula mengalami perubahan kepada Dokumen Negara Islam.

Pesanan Fadzil kepada penulis dan rakan-rakan pemikir parti supaya dokumen itu ditajukkan “Penghayatan Sebuah Pemerintahan Abad 15H/21Masehi”, tenggelam dan hilang dalam hiruk-pikuk polemik tentang negara Islam.

Penulis dan anggota think-tank yang terlibat terpaksa akur.
Gabungan pembangkang di bawah Barisan Alternatif (BA) ketika itu terus berantakan. DAP keluar daripada BA pada September 2001.

Parti Keadilan Nasional (kini Parti Keadilan Rakyat - PKR) merenggang daripada PAS dan membawa haluan sendiri. Ketika itu BA hanya wujud pada nama, lambang dan cogan kata, tetapi tidak pada gerak kerja.

Akibat ‘terlupa’ mengurus kekuatan barunya, PAS dihukum teruk dalam PRU-ke11 (2004). Daripada 27 kerusi, PAS hanya menang enam kerusi parlimen, gagal mempertahankan kerajaan Terengganu dan hampir kalah di Kelantan apabila menguasai dewan undangan negeri dengan majoriti satu kerusi.

Jawatankuasa Post-Mortem PAS Pusat yang mengkaji keputusan PRU ke-11 megenal pasti pelbagai faktor luaran (penipuan dan media) dan dalaman (jentera) sebagai penyumbang utama kekalahan PAS dalam pilihan raya itu.

Namun faktor paling dominan ialah pelancaran Dokumen Negara Islam. Kajian menunjukkan pembentangan itu “gagal mengurus penerangan dan pencerahan” sehingga menimbulkan pelbagai persepsi negatif daripada masyarakat. PAS juga menjadi sasaran jahat media lawan.

Lawan politik tersenyum

Pada masa sama, PAS gagal menangkis tohmahan serta serangan seterunya. Kekuatan PAS kembali kepada kedudukan lama atau bergantung hanya kepada penyokong tegar dan asal.

Lawan politik PAS pula tersenyum lebar kerana taktik pecah dan perintah berjaya memporak-perandakan BA.

Berbeza PRU ke-10, kejayaan PAS pada PRU ke-12 dan ke-13 adalah hasil pelebaran tapak sokongan baru. PAS berjaya membina kekuatan secara sedar dan terancang. PAS bukan lagi sekadar ‘menumpang tuah’ daripada nasib malang Anwar dan kesan undi protes seperti PRU ke-10.

Kekuatan baru itu dibina dengan meruntuhkan tembok pengundi bukan Melayu dan bukan Islam. Hasilnya pengundi terbabit mula memberikan kepercayaan kepada PAS dan memenangkan calon-calon PAS.

Untuk menjayakan strateginya, PAS tegas membuat ijtihad menampilkan tawaran “Negara Berkebajikan” berserta slogan “PAS Untuk Semua” dalam manifesto PRU ke-12.

Perubahan itu diistilahkan Profesor Tariq Ramadan sebagai satu anjakan generasi (generational shift) seperti yang berlaku dalam dunia Islam semasa. Namun, benarkah PAS benar-benar komited kepada agenda ini?

Secara ringkas, PAS terus menggarap isu-isu besar dalam negara dengan pedekatan inklusif dan menyerlahkan makna slogan PAS Untuk Semua serta mendukungi prinsip “Rahmat untuk Semua”.

PAS juga terus menangani isu-isu kritikal yang menajamkan pertentangan kaum dan membakar pertembungan agama. Isu kalimah Allah misalnya, ditangani PAS secara konsisten dan berlandaskan syariat yang mendamaikan.

Sama ada bersama rakan Pakatan dalam Dasar Bersama atau pun bersendirian, PAS berjaya menyerlahkan erti penghayatan Islam sebagai sistem hidup untuk memberikan jaminan “Keadilan Untuk Semua”.

Di samping itu, PAS tegas menyanggah polisi bersifat perkauman dan memangsakan pihak tertentu, terutama golongan miskin atau berpendapaan rendah.

PAS boleh menambah kerusi

Mengambil kira keseluruhan perkembangan inilah, penulis menyatakan, PAS sedang menduduki posisi politik terkuat dan paling mantap. Tidak keterlaluan kalau penulis terus menganggap PAS berada dalam satu unjuran untuk menempa kejayaan lebih baik - tentunya bersama rakan tahalufnya.

Berdasar unjuran yang sederhana, PAS berada pada keluk menambah 13 lagi kerusi di parlimen (menjadi 34 kerusi) jika gandingan Pakatan berlangsung secara mantap dalam PRU akan datang.

Namun semua kejayaan PAS yang tertera di atas bakal terencat atau mengalami kemunduran akibat pergolakan yang berlaku mutakhir ini. Soalnya, apakah PAS mula mengalami fenomena “berpatah balik” (retrogression)?

Gejolak parti - sama ada bersifat dalaman atau luaran - mengakibatkan pemerhati politik khuatir dan cemas. Lebih gusar lagi adalah pendukung dan aktivis parti di akar umbinya yang menanggung kesan secara langsung, terutama di negeri pantai barat.

Elok diingatkan, PAS tidak memiliki sebarang kerusi di dewan undangan negeri di Selangor, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka pada 2004.

Justeru, cadangan seperti bersedia bertanding bersendirian atau keluar daripada Pakatan tidak wajar diucapkan pemimpin kecuali percaturan mereka itu hanya mengambil kira keperluan negeri mereka sendiri semata-mata.

Begitu juga sikap sesetengah ahli dan pemimpin yang menyuruh ahli keluar parti ketika wujud perbezaan atau ikhltiaf. Pimpinan yang matang, tidak gelojoh serta bebas daripada unsur ekstremisme pasti faham apakah yang dimaksudkan dengan amalan mengurus ikhtilaf dalam sebuah organisasi besar yang semakin kompleks.

Sementara itu, dalam mengurus isu hudud pula, seteru tradisi PAS sedang menggoda dengan pelbagai cara. Musuh tetap musuh, meskipun mereka tampak ikhlas. Sayugia diingatkan tuntutan Allah supaya kita hazar (berwaspada) setiasa.

Jangan diipatuk ular lagi

Begitu juga pesanan Rasulullah yang mahu umat baginda mengelak daripada dipatuk ular pada kali kedua dari lubang sama. Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Fadzil Noor acap kali mengingatkan kita tentang ini.

Jika PAS terus kehilangan arah sekali lagi, dikhuatiri parti ini akan kehilangan sokongan barunya di kalangan Melayu-Islam bandar dan pinggir bandar, dan tentunya gagal mengekalkan kepercayaan pengundi bukan Melayu dan bukan Islamnya.

Setiap kali PAS berasakan parti dan jenteranya kuat, Allah mengajar kita dengan keputusan yang menginsafkan. Di samping pengalaman 2004, pegalaman PRU ke-7 (1986) juga sepatutnya menyedarkan kita. Ketika itu PAS hanya bertahan di parlimen dengan kerusi Pengkalan Chepa walaupun meletakkan calon di 98 kerusi.

Perlu diingatkan, ia adalah catatan rekod penyertaan tertinggi PAS dalam pilihan raya umum

Apakah kepimpinan PAS dari peringkat pusat hingga bawahan akan mengizinkan nasib buruk ini kembali lagi, khususnya di ambang pemilihan akan datang?

Mampukah PAS mengelakkan kesilapan silamnya? Berjayakah PAS mengawal suara emosi supaya tidak mengatasi suara ilmu? Berjayakah PAS menggembeling seluruh tenaga kepimpinan dan kepakaran serta segala kepelbagai kekuatan partinya?

Jawapan kepada pertanyaan ini ada pada setiap ahli, khasnya pada setiap perwakilan muktamar ini.


DR DZULKEFLY AHMAD Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS



No comments:

Post a Comment