Sunday, March 27, 2011

Sudut Pandang Untuk UMNO...


Dalam UMNO tercari-cari tapak untuk berpijak dan dalam UMNO cuba menjuarai rakyat, mereka perlu berfikir dan cuba keluar dari kotak pemikiran yang jumud dan kembali kepada sikap transformasi kendiri. Beberapa faktor dari ahli akadamik yang cuba menegur dan kali ini gores malam sudah lama ingin meluahkan buah fikir sebagai insan kerdil memberi sudut pandang agar ianya boleh membantu UMNO terus menjadi juara rakyat dimasa depan. Apa jua perubahan itu datangnya dari UMNO sendiri yang hadir ini sebagai jambatan atau pemudah cara sahaja. Nak atau tidak maka UMNO perlu berfikir untuk menjadi lebih inklusif dan diyakini rakyat. Sudut pandang aku bermula dibawah ini:


1. UMNO perlu ada unit 'RnD' atau unit kajian dan strategik. Ia amat penting bagi menjana segala pemikiran dan penyelidikan dalam mengukuhkan UMNO itu sendiri. Unit ini terdiri dari golongan pemikir yang menjana segala gerakkerja, strategik dan juga perang saraf dalam apa jua isu-isu yang dihadapi oleh UMNO. Persiapan ini penting dalam mengatur strategik dan mencari apa juga permasalahan dalaman UMNO mahupun luaran. Dengan persedian dari unit ini yang rapi, maka UMNO tidak perlu lagi mencari apa juga kerangka yang perlu digunapakai untuk pilihanraya akan datang. Unit ‘RnD’ yang tersedia ini akan menjadi pusat dokumentasi dan penyampai maklumat kepada Ketua Penerangan UMNO dan ia boleh terus disalurkan di setiap Bahagaian dan juga Cawangan.

2. Dipetik dari ucapan YAB PM bertajuk, ‘menakhoda zaman’ menyatakan bahawa, untuk mentransformasi UMNO supaya kembali menjadi parti pilihan orang melayu dengan mengemaskini pendidikan dan pengkaderan politik ahli UMNO itu sendiri. Di semua peringkat ahli-ahli UMNO perlu dididik dan diberi kefahaman secukupnya agar menjadi penyokong yang celik tentang sejarah parti. Maka satu proses memperkukuhkan pendidikan dan pengkaderan melalui kursus-kursus politik secara terancang, berperingkat lagi tersusun berdasarkan modul yang digubal khas merangkumi pendedahan sejarah, pembinaan jati diri dan semangat kerja berpasukan.

3. UMNO terlalu politikal sehingga melupakan urusan kebajikan massa, pendidikan dan dakwah. Bagi menarik sokongan massa, urusan memasyarakatkan UMNO ke dalam masyarakat Malaysia perlu diperkasakan. Antaranya mengadakan amal kebajikan dalam sesebuah komuniti, dialog ilmu antara agama dan amal dakwah secara istiqamah kedalam masyarakat terutamanya golongan belia. Isu-isu semasa yang membelengu masyarakat kampung atau bandar perlu dilihat dan mencari jalan penyelesaian. Memasyarakatkan UMNO dalam ertikata sentiasa peka dalam apa jua perkhidmatan yang dapat diberikan untuk masyarakat setempat. Mengeratkan hubungan sesama, adalah penting bagi menjana kepercayaan masyarakat terhadap pemimpin itu sendiri. Perubahan set minda yang menyatakan diri itu sebagai orang atasan perlu diubah kepada tunduk memasyarakatkan minda dan diri dengan penuh keikhlasan. Sifat inklusif yang dicanang oleh YAB PM di praktikkan dalam gerakkerja UMNO untuk lebih berkesan dalam memasyarakatkan UMNO itu sendiri.

4. Elemen turun padang bertemu masyarakat setempat dan datang kepada audien dan tidak lagi dengan cara menunggu dan mengharapkan kedatangan masyarakat kepada pemimpin dalam majlis-majlis atau hanya menunggu dibilik pejabat khidmat masyarakat. Kunjungan rumah ke rumah rakyat untuk silaturahim mampu mengalirkan air mata rakyat yang disentuh hatinya oleh pemimpin-pemimpin yang berjiwa rakyat.

5. Kelunturan kualiti insan dikalangan ahli UMNO amat membimbangkan. Pemfokusan dalam kemewahan duniawi yang keterlaluan tanpa menghirau kekuatan dalaman jiwa yang kosong dengan erti kata tanpa ada nawaitu perjuangan bangsa. Pembangunan insan dalam gerak kerja perjuangan bangsa perlu dilaksanakan bagi melihat penyambung arah ini berkekalan hingga ke anak cucu bangsa melayu mendatang. Kualiti insan yang lemah dalam minda berfikir untuk memacu perjuangan bangsa adalah menjadi isu utama untuk difokuskan. Kurang minat dalam ahli UMNO untuk menjana perkembangan ilmu dalam diri menjadikan mereka lemah dalam berfikir dan kurangnya motivasi melaksanakan segala gerakkerja.

6. Orang melayu perlu ditegur untuk menjamin hala tuju mereka. Kesilapan-kesilapan orang Melayu ini berulang kali dek kerana tiada teguran dan pembetulan. Mungkin benar apa yang dikatakan ‘melayu mudah lupa’. Sudah sampai masanya jika mahukan perubahan maka Melayu itu perlu ditegur agar mereka dapat menjana perubahan dalam diri dan masyarakat melayu itu sendiri. Teguran itu amat penting tetapi ia perlulah dimulakan dengan pihak atasan pimpinan dan barulah ia terus diunjurkan hingga ke akar umbi. Pemimpin atasan perlu bersifat terbuka dan bersedia ditegur oleh segenap penjuru masyarakat. Pemimpin yang boleh berubah dan bersedia untuk berubah akan dilihat sebagai satu penjelmaan baru dalam arena politik tanahair.

7. Gerakerja bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) dalam menangani segala isu-isu dalam parti UMNO dan juga kerajaan. Gerak kerja ini termasuklah penerangan, latihan dan juga penyatuan dalam membantu pihak kerajaan mendekatkan diri dengan masyarakat. Dengan kerjasama yang dapat dijalin bersama NGO’s ini maka UMNO dapat belajar cara yang lebih efaktif untuk bergerak di lapangan bertemu dengan masyarakat. Ia juga dapat membendung NGO’s ini dari terpesong dan digunakan oleh pihak pembangkang.

8. Hubungan baik (Networking) UMNO bersama agensi kerajaan, perlu dipertingkatkan terutama dengan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dengan politik. Ini amat penting sebagai penyumbang maklumat serta mencari permasalahan yang dihadapi oleh rakyat untuk diselesaikan. Networking ini juga penting dalam menjayakan program-program bersama serta mengUMNOkan pegawai-pegawai kerajaan itu sendiri.

9. Sistem ‘buddy-buddy’ perlu dilaksanakan oleh UMNO diperingkat akar umbi. Modius operandi system ini dilaksanakan iaitu bagi setiap ahli mencari rakan yang bukan ahli dan mengahlikan atau mengUMNOkan mereka dengan cara penuh hikmah sebagai sahabat. Maka cara ini dilihat satu system dakwah juga seperti yang dilakukan oleh Rassullah SAW dalam megajak umat untuk memeluk Islam. MengUMNOkan masyarakat dengan system ini dilihat lebih berkesan kerana masyarakat itu akan tersentuh dari hati ke hati dan kepercayaan mereka itu terhadap UMNO lebih tinggi .

10. Bagi program-program yang perlu dijalankan oleh UMNO dalam masa terdekat ini adalah dengan mengadakan kekerapan pemimpin dari DUN atau setiap Ketua Bahagian atau Cawangan menghadirkan diri dalam segala program kemasyarakatan. Kenduri kendara, kematian, Maulid Rasul, lawatan bagi orang sakit dan apa jua cara bagi bertemu lebih kerap dimata masyarakat kampung. Hadir solat berjemaah juga amat penting bagi Ketua Cawangan atau juga Ketua Bahgaian serta seluruh ahli UMNO. Ini kerana mereka-mereka ini sering kali menjadi AJK atau Pengerusi masjid tetapi batang hidung mereka pun jarang sekali dilihat di masjid-masjid. Bukan bermaksud mereka perlu sentiasa di masjid tapi kekerapan akan membawa perubahan persapsi masyarakat kampung itu sendiri. Bagi masyarakat bandar pula, kerja gotong royong amat digalakan dan konsep rukuntetangga juga boleh merapatkan lagi pemimpin UMNO atau ahli UMNO kepada masyarakat setempat.

11. Apa yang dirunsingkan sekarang ini adalah pengaruh genarasi muda yang kurang berminat dan percaya dengan UMNO. UMNO sendiri dikalangan Pemuda tidak banyak mengatur program di seluruh IPTA/S. Program-program belia perlu diatur dan diperbanyakan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Ini kerana banyak dilihat juga persatuan-persatuan belia hanya untuk jambatan bagi menaikkan nama-nama individu tertentu dan hanya mementingkan jawatan tanpa mengira program-program untuk membina belia belia negara. Peruntukan yang banyak untuk membangun modal insan hanya dapat dilihat sebagai habuan bagi sesetengah individu sahaja tanpa mengira natijah keseluruhan kejayaan program tersebut.

12. Program-program kecil seperti tahlilan, doa selamat dan marhaban di rumah-rumah di kampung atau di bandar dilihat amat penting dijalankan dengan bermodalkan wang yang sedikit tapi mempunyai impak yang besar. Apapun program-program kecil seperti LDK ini boleh diselitkan dengan kehadiran ahli UMNO serta penyampaian makluamt terkini UMNO dan isu-isu semasa. Kehadiran pemimpin UMNO di wad-wad hospital menziarahi pesakit juga dapat mengeratkan lagi hubungan UMNO dengan masyarakat setempat.

13. Program pemutihan kakitangan kerajaan amat perlu ketika ini kerana banyak ketirisan dalam kerahsiaan maklumat yang berlaku. BTN perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menjalankan tanggungjawab ini. Ini kerana pada sekitar tahun 80an dilihat gerakkerja BTN amat berkesan dengan modul menghantar setiap pegawai kerajaan yang hitam pemikiran mereka ke kursus bina semangat. Ini dilakukan bukan hanya sekadar setahun sekali malah pada ketika itu pegawai yang hitam pemikirannya dihantar berkursus dengan kerap hinggalah pegawai tersebut merasa letih dan akhirnya merubah pemikiran mereka.

14. UMNO sendiri perlu bertanya pada diri sendiri mengapa dan kenapa rakyat tidak suka dengan UMNO sekarang ini. Kenapa rakyat mula benci dan mula condrong kepada pembangkang? Adakah UMNO itu sedar dan bukan hanya syok sendiri tentang hakikat ini yang mereka itu ditolak baik dikampung mahupun dibandar, malah generasi muda juga tidak ingin merapatkan diri dengan UMNO. Maka bilamana persoalan ini terjawab, kita dapatlah menganalisa serta membuat satu kerangka kerja bagi menjadikan UMNO sebagai Parti Juara Rakyat.

15. UMNO perlu membuat satu kerangka implementasi dalam setiap ucapan dasar Presiden parti agar ia boleh digunapakai untuk setiap ahli serta pemimpin disetiap peringkat. Justeru itu, segala ucapan yang pernah disampaikan oleh Presiden parti dijadikan bahan rujukan. Ini juga dilihat akan merealisasikan amanat yang disampaikan oleh Presiden parti dan tidak hanya dibukukan malah ia dijadikan sebagai gerakkerja diperingkat akar umbi.

16. Perubahan paling berani yang perlu dibuat oleh UMNO adalah melantik sendiri Ketua Penerangan Bahagian untuk ditempatkan diseluruh Bahagian. Ketua Penerangan Bahagian yang dilantik dari pusat berfungsi menyampaikan segala maklumat terus ke akar umbi dan ia juga menjadi sumber rujukan utama dari UMNO Pusat. Ketua Penerangan ini juga berperanan menjadi mata dan telinga bagi pusat dan menyampaikan segala permasalahan serta apa yang berlaku di peringkat akar umbi.

17. Memperkasakan Cawangan dan mengeratkan hubungan antara veteran UMNO. Dengan memperkasakan Cawangan-cawangan UMNO disetiap Bahagian dilihat amat penting dalam menjalankan gerakkerja diakar umbi. Peranan Cawangan diperkasakan dan peranan ketua Cawangan juga dijana dalam mengerakan segala program dan penyampian maklumat. Ini mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di Kelantan yang mana hanya Bahagian UMNO sahaj yang berkuasa dan segelintir sahaja cawangan yang berfungsi demi Ketua Bahagian. Ada Cawangan UMNO yang terus lesu dan ditutup dan digantikan dengan Cawangan PKR. Penyusunan semula struktur Cawangan adalah penting bagi menjana kekuatan UMNO hingga ke akar umbi. Hubungan dengan veteran UMNO juga penting dieratkan kerana mereka-mereka ini boleh membantu dari pelbagai sudut dalam memperkasakan UMNO itu sendiri. Janganlah UMNO itu menjadi sebuah parti yang melupakan jasa-jasa para pejuang bangsa.

No comments:

Post a Comment