Saturday, April 23, 2011

Nak Jadi Yang Berhormat....


Mungkin dalam diri dikalangan ahli-ahli parti politik ada yang berhajat dan berniat nak jadi Yang Berhormat. Kalau tak jadi YB pun jadi kawan YB pun dah cukup baik. Namun, ketika demam pilihanraya dan senario politik yang semakin hangat di Malaysia ini, maka pasang cita-cita nak jadi YB mungkin semakin ramai dikalangan ahli politik. PRU 13 semakin hampir, dan ianya mula dirasai apabila PRN Sarawak menunjukan prastasi yang menggalakan buat parti memerintah BN. Tak kurangnya buat parti pembangkang, masing-masing sudah berkira-kira nak jadi YB.

Siapa bakal calon YB dikawasan anda? Itu menjadi persoalan yang jelas. Adakah beliau disukai ramai, atau adakah beliau orang yang banyak duitnya, atau adakah beliau dari golongan bangsawan, atau adakah beliau ini berpendidikan tinggi, atau beliau ini memang anak YB yang lalu (warisan alam) atau dia ini memang layak dan memang punya aura untuk memimpin dikawasan anda... semua persoalan ini mula berkisar dikalangan rakyat dan juga YB sendiri.

Bagi yang ingin bertanding sudah mula menjual diri. Sudah mula mengukir nama dan sudah mula tersenyum dan merendah diri. Itu yang sering dilihat. Tapi ada pula yang sudah mula mengatur strategi dengan menyusun segala bala tentera dan juga kewangan untuk menyediakan diri bagi merebut jawatan YB. Tak kurang juga, ada yang dah mula mencari-cari tok bomoh dan juga tangkal buat azimat penunduk bagi meraih sokongan pengundi. Tapi, apakah ini semua dikira sebagai kratiria yang diperlukan bagi menjadi seorang YB. Kalau diri nak jadi PTD atau akuantan perlu ada segulung Ijazah dan perlu melalui urusan temuduga. Nah, bagimana pula YB, adakah mereka ini layak dengan hanya bersandarkan segulung SPM atau hanya sokongan padu dari sekumpulan rakan-rakan kedai kopinya sahaja, atau dek kerana beliau adalah rakan kepada rakan yang punyai ramai kroni.

Persoalan mula timbul, atas dasar apa mereka boleh dipilih sebagai calon untuk menjadi YB di PRU 13 nanti. Cadangan yang ingin aku lontarkan disini mereka ini perlu melalui tiga peringkat:

Pertama, setelah disenarai pendekkan nama-nama bakal calon oleh Pengerusi Perhubungan negeri,maka nama-nama itu perlulah ditapis dengan melalui ujian bertulis. Mereka ini perlulah melaui ujian bertulis Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Inggeris. Selain itu juga ujian kecekapan pengurusan bermasyarakat juga perlu dilalui oleh bakal calon tersebut bagi melihat tahap kecekapan calon menyelesaikan masalah jika dihadapi semasa menjadi YB.

Kedua, calon ini juga perlu melepasi tapisan keselamatan sama ada dari sudut kewangan dan juga bebas dari segala ancaman dan skandal yang boleh menjatuhkan calon itu sendiri.Calon juga perlu menghadiri krusus jati diri untuk menilai atau SWOT analisa diri calon tersebut selama 3 hari.

Ketiga, peringkat ini adalah peringkat terakhir yang perlu dilalui oleh bakal YB iaitu, sesi temuduga. Sesi temuduga ini menilai tahap kecekapan calon dengan kawasan yang mereka ingin tandingi, tahap pegetahuan calon dengan lawan yang bakal mereka tandingi, dan juga dilihat dari kemampuan calon mengandali sesi temuduga ini dengan pelbagai masalah kajian kes yang perlu diselesaikan.

Ketiga-tiga peringkat ini disusuli dengan risikan yang akan dibuat oleh pasukan risikan untuk memantau dan mengambil segala maklumat berkenaan dengan bakal calon dikawasan yang mereka ingin tandingi.Respon dari masyarakat sekeliling berkenaan dengan bakal calon ini akan dijadikan sumber dan penambahan markah untuk mereka.

Mungkin inilah yang dikira satu jalan dan pendekatan yang baik untuk memilih calon YB bagi PRU 13 nanti. Segala transformasi yang diaspirasikan oleh YAB PM dapat dinilai dan diimplemantasikan jika pendokongnya iaitu dari kalangan YB adalah mereka-mereka yang berkualiti tinggi. Bukan YB yang melompat, dan bukan YB yang tangkap muat. Tapi YB yang penuh dengan kewibawaan dan mempunyai misi dan visi untuk membina masyarakat dan negara yang dicitakan. Justeru, menjadi harapan bagi bangsa Malaysia mempunyai YB yang berkualiti tinggi dan bukan YB yang hanya punya kepentingan peribadi menguasai diri dan tidak memikirkan untuk berkhidmat untuk rakyat demi rakayt. Untuk kesekian kalinya, mengarah ke negara maju yang dicitakan , maka YB perlulah mendepani zaman itu dan ianya sebagai model dan contoh terbaik buat rakyat dan menjadi idola mampan untuk membangun bersama aspirasi YAB PM kita...Aku bukan nak jadi Yang Berhormat tapi cukup sekadar melihat dan memberi pandangan buat Yang Berhormat...

PAS Bukan Maksum...


Setelah ditegur oleh Prof Aziz Bari, PAS mula merasakan dirinya maksum dan tidak langsung boleh ditegur sebarangan. Pendapat dari seorang Prof, yang satu ketika dulu disanjung dan dipuja oleh juak-juak PAS kini disanggah dan dihina. Hanya mungkin keikhlasan hati menegur parti yang sudah lupakan asas perjuanganya, maka sebeban kritikan buat Prof ini dilemparkan.

Pelik, jika sebuah parti Islam yang tidak boleh menerima teguran dan tidak mahu cuba muhasabah diri mereka. Setelah kalah berturut-turut dalam PRK dan kini di PRN Sarawak, mereka ini masih angkuh untuk memikirkan kenapa ini terjadi kepada parti mereka. Mereka ini tidak boleh terima teguran sama sekali. Mereka sekarang ini seperti fanak dalam 'Tahaluf Siyasi' bersama DAP dan PKR. Seolah-olah memang benar dikatakan mereka ini telah ditunggangi oleh PKR dan DAP. Segala fatwa dijuruskan kepada kepentingan membela kemungkaran.

Ada yang cuba mengamuk bila ditegur, dan ada pula melimparkan kesalahan mereka kepada parti BN pula. Ini yang sangat pelik, Parti mereka yang buat taik dipalit pula ke parti orang lain. Segala dalil dan hadis dikeluarkan untuk mempertahankan kepimpinan mereka. Kalau rasuah boleh bertukar kepada sedekah dan ini adalah hukum yang paling diminati oleh puak-puak yang menghalalkan cara.

PAS sudah diambang fanak ketika ini. Dulu di Kelantan semasa diawal pemerintahan PAS, agak runsing bagi wanita untuk keluar ke bandar Kota Bharu jika tidak bertudung. Namun kini, bila PAS bersama PR, tudung tidak menjadi isu utama di Kelantan. Bebas jika tidak bertudung. Tak pulak disaman. Kalau ke KB Mall dihujung minggu boleh dilihat hinggakan pasangan lasbian pun dah menular disini. Nah, inilah yang dikatakan membangun bersama Islam selama 20 tahun PAS memerintah. Itu belum lagi kalau ke Wakaf Che Yeh dan sekitar bandar KB. Apa yang dibanggakan oleh PAS, jika dakwah dilupakan dan politik diutamakan.

Hakikatnya, bila bertemu dengan warga PAS, segalanya disalahkan kepada UMNO. Kenapa UMNO? Itu yang menjadi persoalan? Kenapa UMNO yang disalahkan sedangkan PAS yang memerintah negeri Kelantan. Kenapa ahli atau pemimpin PAS sendiri yang tak nak berubah atau bermuhasabah diri mereka. Bila mengambil kesimpulan, barulah aku terfikir bahawa PAS sekarang ini diarena 'politik sebenar' dan bukan di arena berdakwah.

Justeru, kesimpulan yang boleh dilihat sekarang ini, PAS sudah mula bermain politik sebenar dan inilah yang perlu dihadapi oleh ahli-ahlinya. Segala tipu daya dah menular dalam PAS. Segala maksiat juga tak dibendung dalam PAS. Segala rasuah dan penindasan bermaharajalela dalam PAS. Segala gila pangkat diburu oleh pemimpin PAS. Segala yang dulunya dikatakan cara UMNO kini dah ada dalam PAS.Segala keburukan cuba ditutup dengan dalil dan hadis ada juga dalam PAS. Nah, ini semua segala-galanya dek kerana PAS bercita-cita nak ganti UMNO. Maka PAS sudah mengamalkan segala yang UMNO buat satu ketika dulu, kini dan selamanya. Maka tidak ada bezanya parti PAS yang sepatutnya mendukung perjuangan Islam kini menjadi parti politik sebenar dalam arus mencari kuasa dan dunia semata-mata.

Maka, ahli PAS dan seluruh pimpinan PAS perlulah memikirkan adakah parti mereka ini maksum dari cacat cela, dan pemimpin mereka itu boleh bawa mereka ke syurga. Sebab utama yang menjadi tanda tanya ketika ini, kenapa sebuah parti yang menjalankan perjuangan negara Islam, tidak boleh ditegur, tidak boleh menerima kritikan, dan menipu setiap ahli-ahli mereka . Para pemimpin PAS yang hidup senang lenang dan ahli PAS yang berjuang untuk mereka hanya makan nasi putih berlaukkan ikan kering dan sardin semasa berkempen untuk pilihanraya. Kemana perginya wang yang diperuntukan untuk keluar berjihad. Entahlah, ini bukan parti pilihan aku jika aku nak berjihad dan berjunag untuk Islam. Parti yang aku lihat penuh dengan hipokrit dan berselindung disebalik Islam dan perwatakan Islamnya.

Kesian bila melihatkan kepada pengikut-pengikut yang tak boleh berfikir mereka itu. Yang taksub membabi buta, yang menerima segala hadis dan dalil sebulat-bulatnya tanpa sedar mereka ditipu. Mereka yang tidak boleh melihat dari luar kotak benak fikiran mereka. Yang sedihnya, orang kampung ditipu dek kerana janji-janji syurga. Tak perlu berparti jika nak masuk syurga, dan bukan jalan untuk bertaubat jika masuk parti Islam. Jalan taubat banyak caranya dan bukan caranya jika bertaubat duduk dipentas parti Islam lalu terus mencaci sesama Islam. Itu buakan caranya....

Buat kali terakhir, kalam ini aku lemparkan untuk semua kepimpinan PAS dan ahlinya agar mereka rasa bersalah akan dosa menipu dengan menggunakan nama Islam sebagai landasan perjuangan mereka. Maka aku menyeru,agar mereka bermuhasabha diri mereka dan bukan hanya ingin menyalahkan orang lain. Terimalah teguran dengan hati terbuka dan fikirkanlah atas dasar perjuangan Islam yang sejati. Kembalilah kepada perjuangan asal PAS...Maka PAS itu hakikatnya bukanlah satu parti yang maksum...

Thursday, April 21, 2011

PAS sebagai suara ketiga...by NOBISHA (must read)

Tuesday, April 19, 2011
PAS SEBAGAI SUARA KETIGA
Semalam wartawan Harakah menghubungi saya, meminta komen mengenai pilihanraya Sarawak. Mulanya beliau bertanya mengenai peranan media sosial, kemudian kami berdiskusi mengenai strategi PAS di Sarawak. Jawapan saya hampir sama dengan apa yang saya tulis di blog ini sebelum ini. Saya katakan bahawa mesej yang ingin dibawa oleh PAS dalam pilihanraya Sarawak tidak jelas. Malah, dalam blog ini juga saya sebutkan bahawa PAS seperti mencedok tema kempen DAP, tanpa strategi yang jelas. Terserahlah sama ada penyokong PAS ingin menerima komen tersebut secara positif atau sebaliknya.

Saya cukup yakin pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PAS cukup jelas dengan perjuangan parti. Mereka dididik melalui usrah, tamrin dan sebagainya. Bagaimanapun, "real politics" memaksa mereka bertindak dengan cara yang akhirnya membuatkan masyarakat bertanya, "Apakah perjuangan PAS sebenarnya?"

Di Sarawak, saya bertanya beberapa orang mengenai apakah yang mereka fahami dengan perjuangan PAS. Daripada sekitar 10 orang yang saya tanya, hampir kesemua memberikan jawapan yang mempunyai perkataan "ekstrim." Saya percaya PAS menafikan parti itu ekstrim. Malah, saya juga tidak setuju PAS itu ekstrim. Namun, itu tidak penting. Apa yang penting ialah itu persepsi sebahagian masyarakat Sarawak mengenai PAS. Kalau begitu, saya boleh simpulkan bahawa PAS menghadapi krisis identiti.

Sewaktu Muktamar PAS ke 55 pada tahun 2009 yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, saya melihat tidak ada sepatah pun perkataan "Islam" di banner atau bilboard yang dipasang sekitar kawasan muktamar tersebut. Kalau ada pun, ia ditulis dalam tulisan jawi sebagai sebahagian nama PAS itu sendiri. Bukan sahaja orang bukan Islam tidak dapat membaca tulisan jawi, malah orang Islam pun ramai tak dapat membacanya.

Slogan bernada Islam seperti "Membangun Bersama Islam" digantikan dengan "PAS for All." Seorang sahabat bertanya saya mengapakah tidak gunakan slogan "Islam for All" sesuai dengan sifat kesempurnaan (syumul) Islam itu sendiri. Saya jawab, saya tak ada jawapan. Mungkin "real politics" memaksa PAS untuk menggunakan strategi demikian. Bagaimanapun, soalan sahabat tadi menunjukkan bahawa dia juga keliru dengan identiti PAS.

Terus-terang saya katakan bahawa PAS mempunyai potensi besar dalam politik Malaysia. Bagaimanapun, "real politics" menjadikan parti itu berasa kerdil.

Bagi saya, PAS boleh merealisasi potensi untuk menjadi "king maker" dalam politik Malaysia dengan memposisikan dirinya sebagai "the guardian of Islam." PAS tidak perlu ke kiri atau ke kanan. PAS tidak perlu mempertahankan tindak tanduk PKR atau DAP, dan ia juga tak perlu condong kepada BN. PAS wajar kekal sebagai sebuah parti yang berdiri sendiri. Betul atau salah, bukan ditentukan oleh "political expediency" seperti sekarang. PAS harus dilihat berani menegur PKR dan DAP, sama seperti keberaniannya menentang BN.

Sekiranya PAS mampu berbuat demikian, maka orang akan melihat PAS sebagai sebuah parti berprinsip. Sebahagian pemimpin PAS selalu menegur "ulamak" yang tidak membetulkan kemungkaran sebagai "ular dalam semak" atau "syaitan bisu." Apabila pemimpin PAS mendiamkan diri melihat kesalahan PKR dan DAP (kedua-dua parti ini bukan maksum), maka adakah gelaran itu boleh dikembalikan kepada mereka? Atau, gelaran "Alamak!" lebih sesuai?

Dalam konteks demokrasi di Malaysia dan atas semangat menjadi "guardian of Islam," saya fikir PAS wajar memainkan peranan sebagai suara ketiga. Kita dapat melihat bagaimana dalam konteks politik di Malaysia, kaum Cina bermain politik dengan cukup hebat sehingga memaksa kedua-dua belah pagar politik sujud, atau pun sekurang-kurangnya tunduk kepada kehendak mereka. Mengapakah PAS tidak merealisasikan potensi yang ada untuk menjadi suara ketiga bagi mendesak BN, PKR dan DAP untuk lebih responsif kepada tuntutan Islam?

Pada masa ini, PAS mempunyai 16 kerusi Dewan Rakyat dan sekiranya ia bertindak sebagai suara ketiga, saya fikir parti itu boleh menjadi satu kuasa yang kuat di Parlimen Malaysia. PAS boleh menggunakan kedudukan strategik ini untuk "collaborate" dengan mana-mana pihak yang dilihat melakukan sesuatu yang menguntungkan Islam.

Seperti yang selalu disebutkan oleh pemimpin PAS (dan saya percaya mereka ikhlas dalam soal ini), perjuangan PAS ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah swt. Sekiranya dengan bekerjasama dengan BN bagi "co-sponsor" insiatif tertentu di Parlimen, mengapa tidak PAS bersikap terbuka dalam soal ini? Ini bukan bermaksud PAS harus menyokong BN sepanjang masa. Dalam isu-isu tertentu, PAS boleh menyokong DAP dan juga PKR. PAS boleh membentuk kerajaan campuran (coalition government) bersama DAP dan PKR di negeri-negeri tertentu dan menjadi pembangkang kepada kedua-dua parti itu di negeri lain.

Kemampuan PAS untuk melonggarkan ikatan politik dengan lain-lain parti akan meletakkannya sebagai suara ketiga yang dihormati.

Saya tahu nanti akan ada orang berkata cadangan saya itu akan memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Begitulah, setiap kali apabila ada cadangan baru, pasti ada suara-suara sumbang yang melihatnya dari kacamata sedemikian. Apa nak buat, itulah cara sesetengah orang melihat politik. Itulah saja cara yang kita tahu.

Ah, mungkin saya lupa, itulah "real politics."

Dan, dalam konteks Malaysia, "real politics" adalah politik pertentangan. Politik hitam dan putih. Sehingga akhir sekali kita gagal melihat warna-warna pelangi yang jauh lebih indah!
Posted by NOBISHA at 3:40 PM

Sunday, April 17, 2011

Pulang marilah pulang...


Setelah hampir 2 minggu berkampung di Sarawak, maka semalam dan hari ini sudah melihat akan jentera yang hadir pulang ke semenanjung.Yang datang dari berbagai pelusok tanah air mewakili parti masing-masing mula berangkat mengikut penerbangan yang telah ditetapkan. Air Asia dan MAS menjadi pilihan. Apa pun mereka harus menerima hakikat berlapang dada apa jua keputusan rasmi dalam PRN Sarawak kali ini.

Ya mungkin ada diantara jentera yang letih dan ada yang sampai tak sabar-sabar nak pulang ke pangkuan keluarga. Ianya satu kerinduan yang berbaloi bila mana segala hasil kerja berjaya dan dapat diterjemahkan di keputusan PRN ini. Bagi yang gagal dan hilang wang taruhan, maka disana ada kerja untuk mereka bermuhasabah kenapa dan mengapa mereka kalah. Bagi yang menang disambut dengan tugas yang lebih berat kerana segala janji yang ditabur perlu dikotakan dan ianya bukan terhenti setelah bergelar YB sahaja.

Aku, yang sekarang ni sedang menikmati secangkir kopi di LCCT hanya mampu merenung masa depan untuk pengundi yang pernah aku temu di Sarawak lalu. Harapan yang mereka sampaikan kepada aku mungkin tidak dapat tidak perlu diolah agar mereka di Sarawak terus dengan kehidupan yang ceria. Kek lapis, mee kolok, umai, ikan terubok masin dan sebagainya akan terus menjadi makanan istemewa di Sarawak.

Apa pun untuk BN di Sarawak, tahniah untuk mereka yang telah berjaya menjadi sekali lagi peneraju kerajaan Sarawak. Didoakan keamanan dan keharmonian di Sarawak akan terus berkekalan hendaknya. Amanat yang dianugerahkan oleh rakyat Sarawak kepada BN, maka terjemahkanlah ia menjadi satu transformasi yang dicanang dalam menifasto BN yang lalu. Maka, yang pulang marilah pulang ke semenanjung dengan berbekalkan pengalaman selama 12 hari atau lebih di Sarawak dijadikan sebagai panduan gerak kerja yang belum selesai. Aku pula, meneruskan destinasi seterusnya untuk bertemu keluarga tercinta....

Thursday, April 14, 2011

Sarawak dan luahan hati...


Berbaki 24 jam lagi pengundi di Sarawak akan membuang undi di setiap 71 DUN yang telah dibahagikan seluruh negeri Sarawak. Setelah 10 hari berkempen bagi setiap parti yang bertanding dan segala luahan dan strategi kempen telah dilaksanakan, maka tibalah masanya rakyat Sarawak sendiri meluahkan isi hati mereka dikertas undi. Mungkin ada satu tekanan buat parti memerintah, namun dengan keyakinan yang cukup tinggi, terus menyatakan 2/3 itu tetap milik BN.

Memang dilihat senario politik di Sarawak ini cukup berbeza berbanding dengan politik di semenanjung. Ramai lah permerhati politik mula menganalisa politik disini sehinggakan ada yang menyatakan disini amat pelik kalu dilihat orang Sarawak berpolitik. Namun, pada aku yang sudah hampir seminggu berada disini bukanlah satu kepelikan buat politik di Sarawak. Ini kerana dengan tahap celik politik yang rendah dan juga keadaan geografi dan muka bumi Sarawak yang luas menjadikan ianya hanya boleh dianggap politik berpusat.

Maka berbagailah andaian dan strategi yang dicadangkan oleh para cerdik pandai dalam masa berkempen ini. Setiap analisa dianggap sebagai cadangan yang bernas. Apa pun bagi aku tetap menekankan bahawa tidak ada kepayahan untuk politik diSarawak ini kerana para pemimpinnya sudah lama selesa dan sudah lama hidup dalam sindrom selesa ini. Mereka para pemimpin ini tidak perlu bersusah payah untuk turun ke kawasan kerana segalanya boleh diawasai melalui politik berpusat di Kuching. Mereka ini hanya menghantar wakil untuk mendengar keluhan rakyat yang tahap celik politiknya sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Apa yang perlu dirunsingkan oleh para pemimpinnya. Rakyat Sarawak mungkin hidupnya selesa begitu dan budayanya pun dijaga sebegitu rupa. Dan inilah yang menjadi mudah bila budaya dan suasana diadun menjadikan satu konsep berpolitik di Sarawak. Bukan payah nak faham dan bukan juga sulit untuk diterjemahkan. Cuma bagi yang ada masa untuk melihat gaya parti terbesar di Sarawak berpolitik , maka disana ada jawapan segala kekusutan. PBB di Sarawak amat mahir dalam itu semua hinggakan segala isu dalaman mereka juga dapat ditutup bagi mengelakan ianya terjejas dalam PRN ini.

Apa pun langit tidak selalunya cerah dan ombak juga boleh merubah pantai. Justeru, segala keluhan rakyat perlu dipandang serius oleh wakil rakyat . Bukan diwaktu untuk bertanding PRN ini sahaja nampak batang hidung. Dan bukan harga RM 50 atau RM 100 boleh dicampak untuk rakyat sebagai harga satu undi. Masa akan berubah dan rakyat juga akan membuka mata satu hari nanti. Harapan yang menggunung satu transformasi yang dikehendakan oleh masyarakat diluar bandar perlu dilaksanakan. Bukan, apabila sudah menang maka ianya dilupakan segala janji manis yang pernah ditabur.

Selama 10 hari, luahan hati rakyat Sarawak penuh dengan harapan agar mereka ini tidak lagi mencari-cari asas kehidupan itu dengan penuh kesusahan. Cukup untuk yang lepas-lepas dan segala tembelang anda telah terjawab selama 10 hari berada di Sarawak.Jangan hanya selesa tinggal dirumah-rumah besar di Kuching sahaja wahai bakal wakil rakyat tapi ingat, janji tetap janji dan anda akan dinilai dari masa ke semasa oleh rakyat yang sudah ada luhan hati dan sudah mula celik akan politik semasa. Sarawak bukan untuk dimonopoli sesatu kaum sahaja, dan luhan hati ini terus akan didengar walau tidak dizahirkan.